Pelancongan
Walaupun tiada aktviti pelancongan diadakan secara komersial di kampung ini namun terdapat beberapa aktiviti-aktiviti penduduk kampung yang berpotensi untuk dimajukan dan dijadikan sebagai sumber pelancongan di Kampung Kuala Tatau. Walaupun kampung ini tiada tempat yang menarik untuk dikunjungi tetapi pengalaman merasa sendiri tinggal dikampung dan menjalankan ativiti pertanian dan perikanan pasti akan menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Sebagai mana yang diketahui bahawa kampung ini merupakan kampung nelayan yang sering menjadi kunjungan orang yang datang dari Bandar Bintulu untuk mencari hasil-hasil laut dan sungai yang segar. Malah sepanjang perjalanan ke kampung ini, terdapat aktviti penjualan sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar oleh penduduk rumah-rumah panjang berdekatan. Antara aktiviti pelancongan yang berpotensi adalah seperti:
- Homestay
Kebanyakan rumah-rumah dikampung ini sudah mengalami sentuhan moden kerana tiada lagi rumah yang beratapkan daun biasa dan hampir kesemua rumah juga dilengkapi dengan kemudahan utiliti lengkap seperti air, eletrik malah astro juga. Oleh itu, keselesaan para pelancong bukan lagi satu masalah.
- Aktiviti Perikanan Laut
Nelayan di kampung ini hanya akan ke laut apabila keadaan cuaca baik dan kurang berombak. Nelayan disini juga akan turun ke laut pada awal pagi dan balik pada waktu petang. Hasil tangkapan biasa nya akan dijual kepada pemborong tetap disini. Hasil laut yang pelbagai menjanjikan kepuasan kepada pelancong untuk merasa sendiri pengalaman menangkap ikan.
- Aktiviti Memancing Laut/ Sungai
Bagi pelancong yang kurang gemar memancing dilaut boleh mencuba aktiviti memancing ikan atau udang disungai. Walau bagaimanapun aktiviti memancing juga tidak menjanjikan hasil yang lumayan kerana bergantung kepada air yang sesuai. Bila tiba musim udang, anda pasti akan tidak cukup tangan untuk melayan setiap joran yang anda labuhkan kerana ia akan sentiasa menguji anda.
Selain itu, pelancong juga boleh membawa atau membeli hasil laut yang telah diproses seperti udang kering, ikan salai, cencaluk, belacan, umai dan banyak lagi. Walau pun makanan laut ini boleh didapati dimana-mana diseluruh Malaysia namun kualiti dan rasanya tidak akan sama seperti ditempat lain.